| Menakhoda Zaman |
|
Page 3 of 5
 Saudara dan saudari, 31. Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali. 32. Kepada Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa. 33. Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk membabitkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti. Saudara dan saudari, 34. Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya. 35. Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru. 36. Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik. Saudara dan saudari, 37. Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan. 38. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya. 39. Tersenarai antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah. 40. Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan. 41. Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu. 42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan 'esprit de corps.' 43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan. 44. Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat. 45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.  |