| Menakhoda Zaman |
|
Page 2 of 5
 Saudara dan saudari, 13. Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli Umno tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang. 14. (Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970). Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara pro aktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan Felda serta membangunkan kawasan luar bandar. 15. (Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980). Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia. 16. (Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990). Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran? 17. (Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 – 2000). Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak Umno juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik. 18. Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman. Saudara dan saudari, 19. Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Lanskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam. 20. Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012. 21. Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja. 22. Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan. 23. Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan. 24. Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘ beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi ... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini. Saudara dan saudari, 25. Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka. 26. Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara. 27. Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan? 28. Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno. 29. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat. 30. Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.  |