| Sejarah Pekan |
|
Page 3 of 4
Struktur lapisan masyarakat Melayu di Pekan pada zaman dahulu terbahagi kepada dua lapisan iaitu golongan ‘aristokrasi’ dan golongan rakyat biasa, termasuk golongan hamba. Kutipan cukai juga dikenalkan ke atas rakyat biasa bagi membiayai perbelanjaan kerajaan. Keadaan ini jelas menindas golongan miskin. Abdullah Munsyi berpendapat, Negeri Pahang adalah miskin dan rakyatnya malas kerana sentiasa takut dianiaya oleh Sultan dan pembesar memandangkan jika ada lebihan wang dan makanan,semuanya akan dirampas. Secara amnya, penduduk yang tinggal di Bandar Pekan merupakan masyarakat yang menetap untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan pertanian (masyarakat Melayu). Mereka menjalankan perdagangan dari kawasan hulu dan kuala ataupun dari Pekan ke Singapura. In disokong oleh hakikat bahawa Pekan adalah pusat pentadbiran negeri yang memudahkan kegiatan perdagangan dan perniagaan. Keistimewaan Pekan Dalam Perdagangan Bandar Pekan terkenal sebagai Bandar Diraja kerana temapat bersemayam Sultan dan kerabat Diraja Pahang serta pusat pentadbiran negeri sejak dahulu lagi. Selain itu, Pekan turut terkenal sebagai pusat tumpuan perdagangan dan perniagaan. Kedudukannya yang strategik iaitu di kuala Sungai Pahang menjadi faktor kepada keadaan ini memandangkan sungai menjadi jalan perhubungan utama pada masa itu. Berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai, kegiatan perdagangan telah lama wujud di sekitar Pekan. Hasil-hasil eksport Pahang yang dibawa ke Pekan adalah emas, bijih timah, kayu-kayan, dan hasil hutan. Sementara barang-barang import adalah opium, padi, garam, tembakau, sutera, dan kain. Pekan pada masa itu, menjadi pusat pengumpulan dan penukaran barang-barang antara penduduk tempatan dan pedagang. Hasil-hasil dari pedalaman seperti damar, getah dan rotan akan dibawa oleh orang Melayu untuk dijual atau ditukarkan dengan keperluan harian seperti garam, gula dan pakaian. Urusniaga ini pada masa itu dikawal oleh orang-orang Cina dan golongan yang rapat dengan istana. Manakala kegiatan perdagangan sepenuhnya dimonopoli oleh kelas pemerintah yang dikenali sebagai ‘Pedagang Diraja’. Orang-orang Arab pula menjadi orang tengah dalam perdagangan. Keadaan ini menjadi menjadikan Pekan semakin terkemuka di Pahang sebagai tempat tumpuan golongan pedagang. Di Pekan sendiri wujud sistem mata wang tertentu seperti emas dan sistem mata wang tumpang. Ini bagi memudahkan segala urusan perdagangan dan perniagaan. Tambahan pula, Pahang memang terkenal sebagai pengeluar emas dan bijih timah. Masyarakat Melayu sebagai golongan majoriti lebih tertumpu pada bidang pertanian sebagai aktiviti ekonomi utama memandangkan adanya Sungai Pahang memudahkan pengaliran sawah di samping tanahnya yang subur. Sebagaimana dalam petikan di bawah menyatakan : “Pekan Pahang itu seperti dusun, tiada berpasar dan tiada berkedai, tiada lorong tempat berjalan-jalan melainkan di Kampung China itu sahaja ada jalan lebih kurang lima puluh depa panjangnya. Di negeri Pahang itu banyak hutan rimba tetapi tidak diusahakan. Tanah negerinya subur sesuai untuk bercucuk-tanam.” (Buyung Adil,1972: hal 110)
|