Wednesday 08 Feb 2012
Sejarah Pekan

Bandar Pekan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pekan Baharu dan Pekan Lama. Pekan Lam a adalah kawasan kediaman Sultan dan pembesar-pembesar Pahang . Sementara Pekan Baharu merupakan kawasan kediaman rakyat jelata yang suatu ketaka dahulu dikenali sebagai Kampung Cina. Di sinilah terdapat orang-orang Cina yang menjalankan kegiatan perniagaan. Abdullah Munsyi merakamkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah seperti berikut :

“Kampung China itu semuanya orang Cina Kheh : rumah mereka semuanya rumah atap, di dalam rumah mereka ada menyimpan kain-kain dan makanan.”

(Buyung Adil,1972:hal:110)

Ada bukti yang menyokong pendapat bahawa Pekan Baharu dan Pekan Lama adalah setanah sebelum dipisahkan oleh parit yang digali oleh orang-orang Siam semasa menbuka tanah  paya di belakang Padang Sesiur. Ini menunjukkan bahawa terdapat masyarakat luar menetap di Pekan selain daripada masyarakat tempatan. Penempatan Siam di Pekan telah diceritakan Shellabear:

“Adapun dahulukala negeri Pahang itu negeri besar, takluk ke benua Siam, Maharaja Dewa Sura namanya, keluarga pada Paduka Bunbunnya. Setelah Sultan Mansur Shah mendengar khabar Pahang itu, maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Pahang.”

(Shellabear (ed),1977:hal 73)

Melalui petikan tersebut dapat diketahui bahawa Pahang pada suatu ketika pernah dijajah oleh Siam sebelum jatuh ke tangan Melaka dalam tahun 1454 Masihi.

Bilangan golongan China pula tidaklah begitu ramai di Bandar Pekan akibat monopoli perdagangan oleh Bendahara dan golongan Arab selain dikenakan cukai yang tinggi. Menurut Frank Swettanham, pada tahun 1885 hanya ada 80 orang Cina sahaja di Bandar Pekan.

Terdapat golongan Arab di Pekan yang menjalankan pelbagai aktiviti. Antaranya berniaga, berdagang dan menyebarkan agama Islam sesuai dengan perkembangan Islam pada waktu itu. Keturunan Syed dikatakan berasal dari Pahang ini, membuktikan bahawa golongan Arab ini sudah berada di Pekan sebelum abad ke-15 lagi. Abdullah Munshi juga menyatakan bahawa pada tahun 1838, terdapat beberapa keluarga Arab yang telah membuka Kampung Maulana berhadapan dengan Kampung China di sebelah tebing Sungai Pahang.



 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru