| Zamzamzairani ketuai senarai penerima darjah Sultan Pahang |
|
PEKAN 27 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa mengetuai senarai 143 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini. Zamzamzairani dikurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini. Turut dikurniakan SSAP adalah Pengarah Urusan Syarikat Tung Mah General Trading Sdn Bhd, Datuk Tay Thian Seong; Pengerusi Eksekutif TS Marine (M) Sdn. Bhd., Datuk Noor Muzammil Noor Ahmad Mokhtar dan Pengarah Urusan Forestkin Timber, Luk Teck Hoe. Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurnia kepada 54 penerima termasuk Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Abdul Rashid Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Abd. Aziz Mat Kiram dan bekas Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mariam Mas Yaacob. Selain itu ialah Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Wan Ramlah Wan Abd. Raof; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd. Ghazali Abdul Aziz. Turut dianugerahkan DIMP ialah Pengarah Pilihan Raya Pahang, Ismail Mohd. Yusoff; Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Pengurusan Pematuhan, Zulkifli Yahya dan peguam, Khairul Anwar Rahmat. Sultan Ahmad Shah turut berkenan menyampaikan Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada empat penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) 10 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) 10 penerima, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 26 penerima. Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dikurniakan kepada sembilan penerima, Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) lapan penerima dan 18 bagi Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Sumber : www.utusan.com.my |