Wednesday 08 Feb 2012
Tengku Puan Pahang demonstrasi masakan Puding Raja

KUALA LUMPUR 11 Julai - Tidak membataskan kedudukannya sebagai puteri raja, Tengku Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah Sultan Iskandar turun padang hari ini untuk berkongsi resipi Puding Raja, masakan tradisi Pekan, Pahang.

Baginda menunjukkan cara-cara menyediakan hidangan istimewa itu pada Festival Diraja Pelancongan, Makanan dan Kebudayaan Pahang 2010 di Menara Kuala Lumpur di sini.

Keunikan hidangan dapat dilihat daripada penggunaan bahan utama, 'Jala Emas' yang diadun menggunakan bahan telur ayam, gula, daun pandan dan air.

Jala Emas dikirai terlebih dahulu sebelum dimakan bersama-sama dengan kuah puding berasaskan susu dan pisang lemak manis yang digoreng sebelum dihidang bersama dengan buah prun dan gajus.

Sepanjang demonstrasi selama 20 minit itu, Tengku Puan Pahang mengendali ruang masakan dengan kemas dan teratur menggambarkan kecekapan baginda dalam bidang masakan.

Tengku Puan Pahang, yang juga Penaung Persatuan Chef Malaysia, pernah menghasilkan buku masakan khas bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang yang menghimpunkan kesemua jenis masakan tradisi daerah di seluruh negeri itu.

Festival tiga hari, yang berakhir hari ini, dianjurkan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur.

Sumber : www.utusan.com.my

 

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru