Wednesday 08 Feb 2012
RM82j jadikan Pekan, Rompin jelapang padi

PEKAN 17 Mei - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM82 juta bagi membangunkan semula kawasan penanaman padi di daerah ini dan Rompin sebagai jelapang padi.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, projek menaik taraf kawasan seluas 11,343 hektar iaitu 6,017 hektar di daerah ini dan 5,326 hektar di Rompin akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).


''Selaras dengan hasrat tersebut, kementerian akan menubuhkan satu lagi Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di daerah ini bagi menyelaras semua projek menaik taraf kawasan penanaman padi di sini dan Rompin. Setakat ini terdapat lapan IADA di seluruh negara bagi membantu mengusahakan kawasan sawah terbiar.


''Kajian kerajaan negeri yang menelan kos kira-kira RM1 juta mendapati kawasan sawah terbiar di sini dan Rompin berupaya dijadikan jelapang padi yang sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran beras negara," katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Pembangunan Menaik Taraf Skim Pengairan Pahang Tua/Langgar di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.
Menurut Noh, kementerian akan mewujudkan sebuah stesen penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di kawasan tersebut bagi menjalankan kajian pembangunan padi.


''Diharap usaha menaik taraf sawah-sawah terbiar termasuk di semua kawasan akan dapat membantu menampung keperluan padi nasional berdasarkan keperluan penduduk," jelasnya.
Sementara itu katanya, dalam usaha membantu pesawah, sebanyak 70 peratus kos kerja-kerja penanaman padi ditanggung kerajaan dalam pemberian pelbagai subsidi dan insentif.


''Pada tahun lalu sahaja kerajaan memperuntukkan lebih RM3 bilion bagi tujuan tersebut untuk membantu petani.
''Antara subsidi yang diberikan ialah racun, baja, baja tambahan, meratakan tanah dan traktor. Malah, apabila hasil padi diperolehi mereka turut diberikan insentif dan subsidi hasil jualan,'' jelasnya.

 

Sumber Daripada Utusan Malaysia

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru