| Malaysia bakal jadi pusat eksport Volkswagen |
|
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Hasrat Volkswagen AG menjadikan Malaysia sebagai pusat eksport kereta sedan bakal menjadi kenyataan apabila termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom). OSK Research Sdn. Bhd. (OSK Research) dalam nota penyelidikannya berkata, melalui MoU tersebut, Volkswagen dijangka akan mengeluarkan tiga model pemasangan tempatan (CKD) menjelang akhir suku pertama tahun hadapan. ''Model mana yang akan dikeluarkan masih belum dapat dipastikan tetapi kami jangkakan ia adalah Golf, Beetle dan Passat yang merupakan tiga model mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia. ''Sehingga Jun tahun ini, Volkswagen telah menjual 273 buah Golf GTI, 96 buah Beetles dan 90 buah Passat yang mewakili 68 peratus daripada jumlah keseluruhan jualannya,'' kata firma itu dalam kenyataannya di sini hari ini. Menurut nota itu, daripada segi jumlah jualan bagi segmen kereta penumpang Volkswagen berada di tangga ke 16 di kalangan pembuat kereta. ''Bergerak ke hadapan, DRB-Hicom juga akan mula memasang CKD Audi yang merupakan sebahagian daripada Volkswagen Group menjelang 2012, dan ia akan meningkatkan jualan tahunan kepada 1,000 buah berbanding 700 buah. ''Kilang pemasangan kenderaan DRB-Hicom yang terletak di Pekan, Pahang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 buah kenderaan setahun dan pada masa ini mereka sedang memasang Suzuki dan Mercedes,'' jelasnya. Walaupun telah memeterai MoU tersebut, harga kereta keluaran Volkswagen tidak akan berlaku perubahan ketara. Melalui perjanjian itu, pemain industri alat ganti tempatan akan menerima manfaat besar terutama mereka yang telah mempunyai kerjasama strategik dengan pemain asing seperti Bosch dan Autoliv, katanya. Sumber : www.utusan.com.my |