Wednesday 08 Feb 2012
Bantuan tanam semula getah RM9,230 - RM14,000

PEKAN 28 Ogos - Seramai 11,428 pekebun kecil di seluruh negara menerima 'duit raya' apabila kerajaan menaikkan kadar bantuan program tanam semula getah antara RM2,230 hingga RM7,000 sehektar berkuat kuasa 1 September ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB), Tanam Semula Komersial (TSK) dan zakat RISDA di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Ketika mengumumkan kenaikan kadar bantuan itu Najib berkata, seramai 8,994 pekebun kecil di Semenanjung akan menerima sebanyak RM9,230 sehektar berbanding RM7,000 sebelum ini.

Menurut beliau, seramai 1,748 pekebun kecil di Sarawak akan menerima RM13,500 sehektar, manakala 686 pekebun kecil di Sabah bakal meraih RM14,000 sehektar.

"Pekebun kecil di Sarawak sebelum ini mendapat RM10,000 sehektar manakala di Sabah, mereka menerima RM7,000 sehektar.

"Kenaikan kadar bantuan ini berkuat kuasa mulai 1 September ini," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Najib memberitahu, dengan kadar baru tersebut, kerajaan perlu menyediakan peruntukan sebanyak RM651.7 juta bagi menanam semula getah di kawasan seluas 100,000 hektar di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Kadar baru itu melibatkan penambahan sebanyak RM205.8 juta berbanding kadar terdahulu.

"Ini merupakan hadiah hari raya kepada masyarakat pekebun kecil di seluruh negara. Harapan saya supaya lebih ramai pekebun kecil menyertai program tanam semula ini," jelasnya.

Najib menjelaskan, antara faktor kerajaan bersetuju menaikkan kadar bantuan program tanam semula getah kepada getah integrasi itu disebabkan kos pembangunan tanah yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kerajaan menyedari peningkatan kos menebang, membuat teres dan input pertanian seperti baja dan racun membebankan pekebun kecil.

"Kenaikan kadar bantuan ini membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib dan kebajikan pekebun kecil," tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, meskipun Malaysia menduduki tempat ketiga dalam penghasilan getah dunia, komoditi itu masih dianggap penting kerana ia memberi banyak sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Misalnya, penghasilan sarung tangan getah mendapat permintaan yang tinggi di dunia.

"Batang pokok getah juga menjadikan Malaysia sebagai pengeluar perabot berasaskan kayu getah yang tertinggi di dunia," ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan akan sentiasa memastikan kekayaan sumber dalam negara dapat dinikmati secara adil oleh setiap rakyat termasuk penduduk luar bandar.

Menurut Najib, kerajaan akan memastikan transformasi yang sedang digerakkan kerajaan tidak tertumpu di kawasan tertentu sebaliknya meliputi seluruh negara termasuk luar bandar dan pedalaman.

Sumber : www.utusan.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru