Wednesday 08 Feb 2012
Aktiviti: X-Plorasi Berakit IPT 1Malaysia


SERAMAI 455 pelajar membabitkan 35 pasukan rakit institusi pengajian tinggi awam menyertai X-Plorasi Berakit IPT 1Malaysia mengharung Sungai Pahang sejauh kira-kira 200 kilometer dari Temerloh ke Pekan selama lima hari, baru-baru ini.

Penganjuran anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula dari Taman Esplanade Temerloh sebelum singgah di Kampung Kuala Triang, Bera; Kampung Pesagi di Maran; Kampung Belimbing dan Kampung Kiambang, Ganchong di Pekan sebelum menamatkan perjalanan di Pekan Riverfront, Pekan, Pahang.
Selepas tamat pengembaraan, Kolej Komuniti Rompin dinobatkan penerima anugerah `Rekaan Rakit Berinovasi’ diikuti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kedua dan Kolej Komuniti Selandar Melaka, ketiga.



Bagi anugerah `Semangat 1 Rakit 1 Malaysia’, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), kedua dan Kor Suksis UMP, di tempat ketiga.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula muncul johan kategori anugerah `Pengemudi Rakit Terbaik’, Politeknik Seberang Perai dan Kuis, di tempat kedua dan ketiga.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah ketika merasmikan program berkenaan, berkata penganjuran sukan berakit melambangkan sinergi berterusan antara pihak kementerian dan IPTA dalam mengharungi cabaran berakit di Sungai Pahang.
“Kementerian berusaha untuk melahirkan graduan yang memiliki kecemerlangan dalam bidang intelektual, spiritual, pencapaian akademik dan kokurikulum.

“Pelajar IPT berpotensi membina kecemerlangan bukan saja dalam bidang sukan malah aktiviti rekreasi seperti berakit yang dapat meningkatkan kecergasan intelek dan fizikal ke arah amalan hidup sihat, “ katanya.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr Salehuddin Ishak dan Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Temerloh, Datuk Zulkifli Yaakob.

Sementara itu, Daing Nasir Ibrahim berkata, penjelajahan berakit turut menguji kemampuan fizikal dan mental serta kebolehan pelajar dalam menyertai ekspedisi sejauh hampir 200 dari Temerloh ke Pekan Riverfront, Pekan.

“Peserta dapat pengalaman berharga ketika menghilir Sungai Pahang dengan menaiki rakit yang popular pada zaman dulu. Program ini juga bertujuan mendedahkan pelajar dengan kehidupan sebenar masyarakat kampung,” katanya.

Dalam pada itu, peserta dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP, Azrol Azam Nizarudin, mahukan program itu dijadikan acara tahunan.

“Pelajar bukan saja dapat berkongsi pengalaman dan berkenalan malah mereka boleh mempertingkat kemahiran berakit dan cekal menghadapi cabaran ketika di sungai,” katanya.

Peserta UTM, Mohamad Riduwan Suroso pula berkata, program ini dapat mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dalam menghasilkan kreativiti dan inovasi dalam memastikan rakit dapat meluncur laju di atas air.

Sumber : www.bharian.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru