Saturday 19 May 2012
13 PJK dibina di luar bandar

PEKAN 25 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina 13 Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di kawasan luar bandar di Pahang sebelum akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan SKMM, Datuk Jailani Johari berkata, setakat ini, sebanyak 37 PJK telah beroperasi dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat luar bandar di negeri ini.

Menurut beliau, pembinaan tambahan pusat itu akan menarik minat pelbagai pihak termasuk golongan muda dan warga emas mempelajari asas Internet dan komputer di kampung masing-masing.

“Kemudahan ini telah memberi manfaat kepada 8,000 ahli yang berdaftar dengan pusat tersebut iaitu tidak kurang daripada 200 ahli bagi setiap PJK.

“Di samping itu, jumlah terkini menunjukkan seramai 132,000 pengunjung termasuk ahli PJK dan bukan ahli telah menggunakan komputer dan Internet di semua PJK yang beroperasi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian PJK Kampung Ubai dan Karnival Jalur Lebar, di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Selain itu, Jailani berkata, SKMM sedang berusaha untuk mencapai sasaran penembusan jalur lebar di negara ini sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Tambahnya, setakat ini, penembusan jalur lebar di peringkat kebangsaan telah mencapai 37 peratus manakala di Pahang setakat ini adalah 21.2 peratus.

Katanya, walaupun kerajaan telah menetapkan sasaran tersebut sehingga akhir tahun ini, ia akan diteruskan pada tahun depan bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet tanpa wayar di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Jailani berkata, pemilihan Kampung Ubai untuk dijadikan PJK dibuat memandangkan tidak ramai penduduk mempunyai kemudahan jalur lebar di rumah masing-masing.

Katanya, melalui projek tersebut, sambungan jalur lebar akan dapat dinikmati oleh masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar PJK.

“Saya berharap dengan adanya PJK di kampung ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dalam membantu melahirkan masyarakat berilmu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang digital di luar bandar,” katanya.

Sumber : www.utusan.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru