| Teknologi Korea tanam padi di Pekan |
|
KUANTAN 4 Mac – Teknologi Korea Utara akan digunakan untuk membangunkan projek penanaman padi secara komersial berskala besar di Pekan, Pahang.Majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut diadakan antara sebuah syarikat tempatan Sungai Duri Plantations Sdn. Bhd. (Sungai Duri) dengan pihak Korea Utara, yang diwakili oleh Timbalan Pengerusi dan Pengurus Agronomi, Persatuan Pertukaran Teknikal Kementerian Pertanian Korea Utara, Choe Yong-Son di sini hari ini. Memberitahu pemberita kemudiannya, Pengarah Urusan Sungai Duri, Datuk Normala A. Kahar berkata, kerjasama itu meliputi pemindahan teknologi Korea Utara yang sebelum ini berjaya menghasilkan kawasan Jelapang Padi di beberapa negara termasuk China, Uganda, Angola dan Filipina. Beliau melahirkan rasa optimis dengan projek yang bakal dilaksanakan tersebut dengan turut menjangkakan mampu mengeluarkan tujuh tan padi setiap hektar semusim. “Lima pakar pertanian dari Korea Utara akan terlibat dengan projek ini di kawasan seluas 263 hektar di Sungai Pelak, Pekan melalui penyelidikan termasuk membaik pulih tanah dan mengenal pasti makhluk perosak,” katanya. Jelasnya, projek percubaan dengan pihak Korea Utara itu telah dijalankan di kawasan seluas lebih 60 hektar di Mambang, Pekan. Projek itu telah ditanam dengan benih padi keluaran Mardi jenis MR219 Januari lepas dan dijangka boleh dituai Mei ini. “Setakat ini, ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan kita optimis dengan projek yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut hadir di majlis itu bersama Duta Korea Utara ke Malaysia Pak Ryong-Yon dan Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Padi Kementerian Pertanian Korea Utara Kim Jang Sok. Adnan berkata, projek perintis di Pekan itu sekiranya berjaya bukan sahaja boleh dikembangkan ke kawasan lain di Pahang, malah ke seluruh negara. Katanya, projek itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan daerah Pekan dan Rompin sebagai Jelapang Padi di Pahang. — BERNAMA |