Thursday 09 Sep 2010
Undang-Undang Perbekalan Tambahan

Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang bernama ‘Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun itu’, dibaca kali yang kedua sekarang.

 

Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :PARLIMEN
Tarikh / Date. :10-03-2009
Tajuk / Title :RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2009)

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang bernama ‘Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun itu’, dibaca kali yang kedua sekarang.

Tuan Yang DiPertua,

2. Peruntukan Tambahan Perbelanjaan Mengurus Pertama, 2009 ini adalah dibentangkan menurut perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi memperolehi kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau terkurang diperuntukkan dalam Bajet 2009 yang telah diluluskan terdahulu oleh Dewan yang mulia ini.

3. Krisis ekonomi global semasa, yang bermula daripada krisis kewangan subprima di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2007, telah membawa kesan yang jauh lebih meluas dan mendalam. Setelah hampir dua tahun sejak krisis kewangan global melanda, namun masih belum nampak tanda-tanda kembalinya kestabilan di sektor kewangan dan pemulihan ekonomi negara-negara maju. Malahan lebih separuh daripada ekonomi utama dunia, terutamanya Amerika Syarikat, kawasan Eropah dan Jepun, telah terjerumus ke dalam kemelesetan. Negara-negara ini telah mengalami penguncupan ekonomi yang terburuk semenjak the Great Depression pada 1930an.

4. Walaupun negara-negara maju telah mengumumkan Pakej Rangsangan ekonomi yang begitu besar melebihi 3 trilion dolar Amerika, sejumlah besar digunakan untuk menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun masih belum dapat memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur. Malah pengumuman terkini menunjukkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat berada di tahap ialah 8.1%, kadar paling tertinggi sejak tahun 1983.

5. Perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif ini telah mula menampakkan impaknya ke atas ekonomi negara dalam suku keempat tahun 2008. Eksport dan pengeluaran industri negara mula merosot dan pelaburan berkurangan. Sentimen pengguna juga telah turut terjejas. Berikutan ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencatatkan penurunan kadar yang ketara rendah sebanyak 0.1 peratus, berbanding dengan purata sebanyak 6.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2008. Pengurangan ini disebabkan, terutamanya oleh penguncupan eksport, bagi tempoh yang sama, telah mengalami kejatuhan nilai sebanyak 13.4 peratus. Kejatuhan eksport ini telah menjejaskan pertumbuhan sektor ekonomi, terutamanya pembuatan yang telah mencatatkan penguncupan sebanyak 8.8 peratus.

6. Persekitaran ekonomi global bagi tahun 2009 dijangka lebih sukar. Amerika Syarikat, yang merupakan ekonomi dan negara perdagangan terbesar di dunia, dijangka mengalami pertumbuhan ekonomi negatif sebanyak 1.6 peratus, sementara United Kingdom negatif 2.8 peratus, dan Jepun negatif 2.6 peratus. Di rantau ini, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura akan terus mengalami kemelesetan ekonomi, iaitu masing-masing pada negatif 2 peratus, negatif 4 peratus dan negatif 4.9 peratus pada tahun ini. Malah Menteri Mentor Singapura telah membayangkan bahawa ekonomi Singapura akan menguncup negatif 10 peratus pada tahun ini. Sungguhpun ekonomi negara China dan India dijangka mencatat pertumbuhan positif sebanyak 6.7 peratus dan 5.1 peratus, namun jangkaan pertumbuhan ini adalah pada kadar yang ketara rendah. Berikutan perkembangan ini, IMF telah pada Januari 2009 sekali lagi mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia daripada 2.2 kepada 0.5 peratus bagi tahun 2009. Setakat ini, usaha-usaha untuk memulihkan sektor kewangan di negara-negara maju masih belum berjaya. Oleh itu, besar kemungkinan keadaan ekonomi global akan menjadi lebih buruk sebelum keadaan ekonomi menjadi pulih.

7. Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang menggalakkan sebelum ini kerana, antaranya, kita telah berjaya meningkatkan perdagangan antarabangsa. Perdagangan negara mencakupi hampir dua ratus peratus daripada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di dunia. Pertumbuhan ekonomi negara juga telah dijanakan oleh aliran masuk pelaburan asing yang tinggi dan pembangunan pasaran modal yang mantap. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia semasa, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa ekonominya yang begitu terbuka akan menerima tekanan berikutan kegawatan ekonomi global melalui empat faktor:

Pertama : Nilai eksport negara dijangka berkurangan kerana permintaan dunia telah merosot dengan begitu ketara. Umpamanya, pada bulan Januari 2009, eksport negara telah jatuh sebanyak 27.8 peratus;

Kedua: Eksport komoditi, terutamanya minyak dan gas serta kelapa sawit, telah mengalami penurunan harga yang mendadak;

Ketiga: Berikutan kegawatan ekonomi dunia, kemasukan pelaburan asing juga akan berkurangan. FDI pada tahun ini dijangka hanya separuh, iaitu 26 bilion ringgit berbanding dengan jumlah FDI pada tahun 2008, iaitu 51 bilion ringgit; dan

Keempat: Kejatuhan mendadak pasaran saham global telah menyebabkan kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia. Ini memberi kesan negatif kepada sektor perkhidmatan yang biasanya berkembang pada kadar yang tinggi serta mempengaruhi sentimen pelabur dan pengguna.

8. Dalam konteks senario ekonomi global yang begitu meruncing dan berasaskan empat faktor yang telah saya jelaskan, Malaysia kini menghadapi keadaan ekonomi yang amat mencabar. Ini memerlukan Kerajaan mengkaji semula unjuran pertumbuhan KDNK negara bagi tahun 2009. Namun, Kerajaan yakin Bajet asal 2009 yang memperuntukkan sejumlah 206 bilion ringgit serta Pakej Rangsangan Pertama yang berjumlah tujuh bilion ringgit dan Pakej Rangsangan Kedua ini bertujuan mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara. Sekiranya usaha-usaha ini tidak diambil, ekonomi negara akan mengalami kemelesetan yang serius. Dengan langkah-langkah yang diambil, pertumbuhan KDNK negara dijangka di dalam lingkungan negatif satu peratus hingga positif satu peratus bagi tahun 2009.

9. Program dan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama sebanyak 7 bilion ringgit sedang giat dilaksanakan. Setakat ini, 6.5 bilion ringgit telah diagihkan kepada Kementerian dan agensi. Sehingga kini, sejumlah satu bilion ringgit telah dibelanjakan. Ini termasuk 6,267 Program Penyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, 2,118 projek oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, 1,594 projek oleh Kementerian Pelajaran dan 1,322 projek oleh Kementerian Kesihatan. Adalah dijangkakan menjelang bulan Jun 2009, jumlah keseluruhan kerja yang dapat ditawarkan serta dilaksanakan bagi memenuhi sasaran Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama ini bernilai 5.2 bilion ringgit. Seperti mana yang telah diumumkan, pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama akan dipantau pelaksanaannya dengan rapi melalui sebuah Unit Khas, iaitu Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan yang melapur terus kepada Menteri Kewangan. Dengan tertubuhnya Unit ini, Kerajaan akan memastikan sasaran Pakej Rangsangan yang pertama akan tercapai. Dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa Unit ini juga akan memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Kedua dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan agensi-agensi yang berkaitan.

Tuan Yang DiPertua,

10. Kerajaan beriltizam untuk terus melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai, terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas. Saya yakin dengan semangat bersatu, kita mampu berdepan dengan persekitaran yang sukar dan mencabar ini, seperti yang pernah kita lalui bersama di dalam beberapa krisis yang terdahulu. Kerajaan akan memastikan bahawa kesejahteraan semua rakyat akan terus dibela dan tiada yang terpinggir daripada mendapat manfaat langkah-langkah yang dilaksanakan.

11. Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, maka Pakej Rangsangan Kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur. Di samping itu, langkah-langkah yang dirangka dalam Pakej Rangsangan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi juga inisiatif membina kapasiti ekonomi jangka panjang. Ini akan menjamin Malaysia lebih bersiap sedia untuk meraih segera peluang tatkala ekonomi global kembali pulih kelak.

12. Saya menghargai peranan YAB Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara dalam melahirkan beberapa idea baru untuk menangani krisis pada kali ini. Pakej Rangsangan ini telah dirumuskan melalui perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk dengan YAB Perdana Menteri sendiri. Pakej Rangsangan ini memberi tumpuan kepada empat teras utama, seperti berikut:

Pertama : Mengurangkan Pengangguran Dan Menambah Peluang Pekerjaan;
Kedua : Meringankan Beban Rakyat, Terutamanya Golongan Mudah Terjejas;
Ketiga : Membantu Sektor Swasta Menghadapi Krisis; dan
Keempat : Membina Keupayaan Masa Depan.


13. Maka dengan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan berjumlah 60 bilion ringgit. Pakej ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, iaitu 2009 dan 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 bilion ringgit merupakan suntikan fiskal, 25 bilion ringgit Dana Jaminan dan 10 bilion ringgit pelaburan ekuiti, tujuh bilion ringgit inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan off-budget serta tiga bilion ringgit insentif cukai. Jumlah 60 bilion ringgit ini merupakan hampir sembilan peratus daripada KDNK. Pelaksanaan Pakej Rangsangan yang bersaiz besar seperti ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara.

14. Ini bukanlah kali pertama kita menghadapi krisis. Negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya dalam tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah kita atasi dengan jayanya dan ekonomi negara telah muncul lebih kukuh. Hari ini kita berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang jauh lebih getir berbanding dengan krisis-krisis terdahulu. Walau bagaimanapun, berbekalkan pengalaman kita dalam menghadapi krisis dan semangat bersatu padu, saya yakin dan percaya kita akan terus bersama mengatasi cabaran-cabaran yang semakin meruncing.

Tuan Yang DiPertua,

15. Jumlah 60 bilion ringgit ini diperuntukkan kepada empat Teras seperti berikut:

Bagi Teras Pertama, 2 bilion ringgit;
Teras Kedua, 10 bilion ringgit;
Teras Ketiga, 29 bilion ringgit; dan
Teras Keempat, 19 bilion ringgit.

16. Daripada suntikan fiskal sebanyak 15 bilion ringgit, sejumlah 10 bilion adalah bagi tahun 2009 dan 5 bilion ringgit bagi 2010. Jumlah 10 bilion dalam tahun 2009 dibahagikan kepada 5 bilion ringgit untuk belanja mengurus dan 5 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan. Saiz perbelanjaan ini sudah tentunya akan meningkatkan defisit Bajet Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan daripada 4.8 peratus kepada 7.6 peratus pada tahun ini. Kerajaan yakin dasar fiskal negara mempunyai fleksibiliti dan keupayaan untuk menampung defisit yang lebih tinggi. Keupayaan Kerajaan untuk memastikan kedudukan fiskal mapan jelas terlihat daripada kejayaan kita mengurangkan defisit daripada 5.3 peratus pada tahun 2002 kepada 3.2 peratus pada tahun 2007. Malahan, semasa negara mengalami penguncupan pertumbuhan ekonomi dalam tahun 1982, kita telah mengalami defisit 16.6 peratus, berikutan dasar fiskal mengembang, terutamanya untuk membina infrastruktur negara. Langkah ini telah meningkatkan potensi pertumbuhan negara yang telah membawa kepada kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi setinggi 9 peratus pada awal 1990an. Kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal Kerajaan akan kembali mapan.

17. Kerajaan yakin defisit ini akan dapat dibiayai daripada sumber dalam negeri, memandangkan tahap kecairan yang tinggi dalam sistem kewangan tempatan. Di samping itu, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan masih pada tahap yang berhemah. Pembiayaan defisit ini juga tidak akan menimbulkan kesan crowding out sektor swasta untuk mendapatkan dana, terutamanya daripada pasaran bon negara yang telah berkembang pesat dan kini, merupakan yang kedua terbesar di rantau Asia Timur.


Tuan Yang DiPertua,

TERAS PERTAMA: MENGURANGKAN PENGANGGURAN DAN MENAMBAH PELUANG PEKERJAAN

18. Dalam persekitaran ekonomi global semasa, terdapat syarikat-syarikat, khususnya dalam sektor pembuatan, terpaksa memberhenti atau mengurangkan operasi. Ini dijangka mengakibatkan kadar pengangguran bagi tahun 2009 meningkat kepada 4.5 peratus berbanding 3.7 peratus bagi tahun 2008. Semenjak Oktober 2008, seramai 25,000 telah kehilangan pekerjaan. Terdapat juga 30,900 pekerja yang telah diberhentikan secara sementara dan 23,900 yang terpaksa bekerja dengan pengurangan gaji. Selain dari ini, terdapat kira-kira 100,000 pekerja yang tidak dibenarkan membuat kerja lebih masa dan oleh itu, pendapatan mereka telah berkurangan dengan agak ketara.

19. Kerajaan amat prihatin dengan keperitan yang dihadapi oleh golongan pekerja yang diberhentikan, kesukaran yang ditanggung oleh siswazah menganggur dan keresahan yang turut dirasai oleh keluarga mereka. Untuk membantu mereka ini, Kerajaan akan mewujudkan sebanyak 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Menyediakan Latihan Dan Mewujudkan Peluang Pekerjaan

20. Dari jumlah 163,000 peluang latihan dan pekerjaan yang akan diwujudkan, sebanyak 100,000 merupakan inisiatif usaha sama antara Kerajaan dengan pihak majikan sektor swasta. Sasaran program ini adalah untuk memberikan manfaat kepada pekerja yang telah diberhentikan dan pekerja yang diberhentikan sementara serta mereka yang mengalami kekurangan pendapatan dan siswazah menganggur. Program latihan ini akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi Kerajaan, sektor swasta, termasuk GLC dan institusi latihan swasta. Tumpuan utama latihan adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengikut keperluan industri serta memudahkan employability. Kerajaan juga akan melaksanakan penempatan pekerjaan dan memberi insentif kepada majikan untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan. Ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Peruntukan sebanyak 700 juta ringgit akan disediakan bagi tujuan ini.

21. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk:

Pertama: Menambah bilangan peserta di bawah Program Latihan Khusus dan Program Latihan Semula kepada pekerja yang telah diberhentikan dan Skim Latihan Dual Nasional untuk memberi kemahiran kepada golongan yang masih bekerja;

Kedua: Menambah program latihan dengan kerjasama pertubuhan industri dan syarikat-syarikat yang terlibat, seperti elektrik dan elektronik, pengimpalan, robotik dan pembinaan. Di samping itu, lebih banyak latihan kemahiran industri dan teknikal akan dilaksanakan oleh Pusat Latihan Kemahiran di semua negeri bagi 10,000 orang pelatih;

Ketiga: Menyediakan latihan sambil bekerja untuk siswazah menganggur, terutamanya dalam sektor kewangan, oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara bagi tempoh 2 tahun. Seramai 1,000 graduan yang menganggur akan menyertai program ini;

Keempat: Menyediakan 2,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di syarikat GLC, terutamanya dalam sektor perkhidmatan seperti outsourcing, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif;

Kelima: PUNB akan melaksanakan program latihan sangkut untuk siswazah dan pemegang sijil kemahiran. Peserta akan ditempatkan di syarikat-syarikat investee PUNB selama enam bulan hingga satu tahun. Apabila tamat latihan, peserta layak mendapat bantuan kewangan di bawah PROSPER untuk memulakan perniagaan. PUNB mensasarkan 2,000 siswazah akan dapat dilatih di bawah program sangkut ini; dan

Keenam: Memantapkan lagi Program Tunas Mekar untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang perniagaan dan menambah nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Seramai 500 siswazah dan PKS akan menyertai program ini.

22. Kerajaan juga akan mewujudkan 22 JobsMalaysia Centre dan menambah baik 109 pusat yang sedia ada. Pusat ini akan ditempatkan di lokasi tumpuan awam, termasuk di kompleks membeli-belah, untuk memudahkan akses pekerja dan majikan bagi mendapatkan penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan maklumat mengenai peluang latihan yang disediakan. Di samping itu, lebih banyak karnival pekerjaan berskala besar di peringkat kebangsaan akan diadakan bagi memudahkan penganggur dan pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Kebajikan Pekerja Yang Telah Diberhentikan Kerja

23. Syarikat swasta perlu memainkan peranan bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang telah diberhentikan kerja termasuk di bawah Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Untuk menyokong usaha ini, Kerajaan mencadangkan majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan mulai 1 Julai 2008 diberi potongan cukai dua kali ke atas amaun gaji yang dibayar. Amaun potongan yang layak adalah tidak melebihi 10,000 ringgit sebulan dan terhad kepada 12 bulan gaji untuk setiap pekerja. Galakan ini berkuat kuasa bagi pekerja yang dilantik mulai 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010.

24. Kita ambil contoh majikan yang mengambil seorang pekerja yang telah diberhentikan oleh syarikat lain dan membayar gaji sebanyak 24,000 ringgit setahun. Biasanya potongan cukai kepada majikan adalah sebanyak 24,000 ringgit dari keuntungan. Walau bagaimanapun, dengan langkah yang diumumkan ini, syarikat dibenarkan memotong sebanyak 48,000 ringgit dari keuntungan, iaitu dua kali ganda gaji. Ini merupakan pengurangan cukai tambahan untuk syarikat sebanyak 6,000 ringgit, iaitu 25 peratus daripada 24,000 ringgit.

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru