| Sejarah Pekan |
|
Page 1 of 4 Peta Pekan
Pekan – Sorotan Kembali “Gelaran tua bagi negeri Pahang itu ialah Inderapura, disebut juga sebagai Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya yang telah terkenal sampai sekarang dan ibu negeri Pahang pada zaman dahulu bernama Pekan. Sebelum negeri Pahang ditakluk oleh Kerajaan Melayu Melaka, orang Hindu Asli (berbahasa Sanskrit) memanggil ibu negeri Pahang itu Pura. Orang-orang Melayu ada juga menyebutnya Pura (ada tersebut dalam Hikayat Sejarah Melayu 1977: hal 73) manakala orang Melayu yang tinggal berhampiran dengan Sungai Endau, Sungai Rompin dan Sungai Bebar pula memanggilnya Pekan Pahang. Pada masa itu, Bandar Diraja Pahang yang dinamakan Pekan itu ialah daerah-daerah yang di kiri dan kanan Sungai Pahang dan Sungai Pahang Tua hingga ke hulu had Tanjong Langgar. Bandar Pekan itu terbahagi kepada dua bahagian : Pekan Baharu dan Pekan Lama. Di Pekan Lama itulah tempat kediaman Raja-raja dan orang-orang Besar Pahang. Pekan Baharu itu pada zaman dahulu Kampung China namanya, kemudian baharu disebut Pekan Baharu.” (Buyung Adil,1972 : hal 2) Bandar Pekan dikatakan wujud semenjak abad ke-17 lagi. Namun demikian, tidak ada tarikh yang tepat tentang penemuan Pekan tetapi ramai penulis Barat, Arab atau penulis Cina menyebut dan menceritakan tentang Pekan. Mengikut pendapat orang-orang Tuam, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang di panggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing-tebing Sungai Pahang. Bunganya berwarna putih seperti Bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.Namun begitu ada pendapat mengatakan bahawa Pekan mendapat namanya dari pengertian bandar, pasar, pekan sehari dan tempat orang berjual beli. Sumber ini lebih tepat kerana Pekan yang dikenali sebagai Pura pada zaman dahulu diambil dari Bahasa Sanskrit yang bererti Pekan atau Bandar yang menjadi tumpuan peniaga. Bandar Pekan berkeluasan seluas 3846.14 kilometer persegi (385.135 hektar). Pekan mempunyai 11 mukim iaitu Pekan, Bebar, Temai, Lepar, Kuala Pahang, Langgar, Ganchong Pahang Tua, Pulau Manis , Pulau Rusa dan Penyor. Pekan terletak kira-kira 6437km daripada Laut China Selatan. Kedudukan Bandar Pekan ialah di tebing Sungai Pahang, sungai terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu sejauh 477.97km (297 batu). Terdapat pula Sungai Parit dan Sungai Air Hitam di kiri dan kanan kawasan Pekan Baharu. Pada umumnya keadaan alam dan mukabumi Bandar Pekan dan sekitarnya adalah tanah-tanah dataran yang terbentang rata di sepanjang Sungai Pahang. Kebanyakkan tanah di Pekan adalah dari jenis gambut. |