| Tun Mahathir kagum pencapaian DRB-HICOM |
|
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad menyatakan kekagumannya dengan beberapa pembangunan ketara dalam kompleks automotif bersepadu DRB-HICOM Bhd. yang terletak di Pekan Pahang. Kompleks bersepadu itu menjadi tempat pengeluaran, pemasangan dan pemasaran industri automotif di Malaysia dengan penglibatannya antara lain dalam pasaran kenderaan penumpang dan kenderaan pacuan empat roda, projek trak nasional serta projek motosikal nasional. Kumpulan DRB-HICOM turut memfokuskan perniagaan terasnya dalam bidang Perkhidmatan, dan Hartanah & Infrastruktur. Bekas Perdana Menteri yang kali terakhir melawat kompleks tersebut pada tahun 1995 berkata, pencapaian dan perkembangan ketara di kompleks itu telah berjaya menjadikan para pekerja menguasai kemahiran canggih yang diperlukan oleh pihak industri. Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila diberitahu kualiti kereta Mercedes Benz yang dipasang di kompleks bersepadu itu sama kualitinya dengan kereta Mercedes Benz yang dikeluarkan oleh kilang di Jerman. "Saya berharap agar satu hari nanti Mercedes Benz akan menggerakkan sebahagian daripada pengeluarannya di sini." katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena lawatan ke kilang tersebut di sini hari ini. Turut hadir ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, pemegang saham terbesar Kumpulan DRB-HICOM Bhd., dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil. Dalam lawatan itu, Dr. Mahathir telah dibawa untuk meninjau kilang-kilang di kompleks tersebut termasuklah kilang pemasangan robotik Suzuki, Mercedes Benz, kilang pemasangan dan perapian Isuzu serta Kompleks DEFTECH. Menurut Dr. Mahathir, beliau berharap kakitangan DRB-HICOM akan terus bekerja lebih keras jadi agar satu hari nanti DRB-HICOM akan muncul sebagai model berjaya untuk industri automotif. Sementara itu, Mohd. Khamil berkata, bekas Perdana Menteri itu telah meletakkan wawasan dan keazaman dalam memberi penekanan terhadap usaha-usaha pembangunan industri automotif yang telah membawa kepada pertumbuhan di dalam industri-industri berkaitan, termasuklah perbankan dan insurans. Hasilnya, kebanyakan rakyat Malaysia dapat mengecapi peningkatan ketara di dalam kualiti hidup. Beliau menambah, DRB-HICOM sendiri telah membuat anjakan paradigma yang amat diperlukan dengan membawa perubahan dari hanya pengedar kenderaan kepada rakan kongsi sebenar dengan jenama-jenama antarabangsa terkenal seperti Mercedes Benz, Audi, Honda, Isuzu, Suzuki, Mitsubishi, Mahindra dan yang paling baru, dengan Volkswagen.AG. "Dalam usahasama perkongsian ini, DRB-HICOM menyokong program-program CKD dan juga localisation of parts untuk meningkatkan industri pembuatan automotif tempatan, sejajar dengan wawasan pucuk pimpinan untuk industri automotif," katanya. Mohd. Khamil menambah International College of Automotive (ICAM), telah dibangunkan awal tahun ini sebagai sebahagian daripada komitmen DRB-HICOM untuk membangunkan modal insan berilmu dan bernilai. Sumber : www.utusan.com.my |