Wednesday 08 Feb 2012
Perasaan gusar bawa petanda kehilangan dua anak, empat cucu

PEKAN 8 Jun - Seorang ibu tidak menyangka perasaan gusar dan bimbang yang dirasainya merupakan petanda dia akan kehilangan dua orang anak dan empat cucu secara serentak.

Arfah Sulung, 45, merupakan ibu kepada Norfaizah Mansor, 31, yang maut bersama adik dan empat anaknya dalam kemalangan ngeri di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Muadzam di sini, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Menurutnya, dia berasa bimbang apabila Norfaizah bersungguh-sungguh mahu ke Pekan menggunakan kereta Proton Iswara terpakai yang baru dibelinya di Segamat, Johor.

"Melihatkan arwah yang bersungguh-sungguh mahu ke Pekan untuk menghadiri mesyuarat mingguan Amanah Ikhtiar Malaysia itu, tiba-tiba sahaja saya tak sedap hati.

"Saya semakin bimbang apabila melihat keempat-empat anak Norfaizah dan adiknya, Mohd. Saiful Anwar bersiap-siap hendak mengikut arwah," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Pekan di sini pagi ini.

Dalam kejadian malam tadi, Norfaizah, yang memandu kereta Proton Iswara bersama Mohd. Saiful Anwar, 14, serta empat orang anaknya maut selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu.

Keempat-empat anak Norfaizah ialah Nur Sahera Atikah Mohd. Saudi, 13; Nor Safiana Atikah, 10; Nor Suhaila Asirah, 7; dan Md. Sahrul Amir, 3.

Menurut Arfah, apa yang memilukan hatinya ialah Mohd. Saiful Anwar, anak kesembilan daripada 10 adik-beradik, turut menunjukkan sikap aneh apabila memohon untuk bersalam dengannya sebelum mengikut kakak sulungnya itu.

"Tidak pernah Saiful minta untuk bersalaman dengan saya jika pergi ke mana-mana sebelum ini tetapi semalam amat berlainan sekali.

"Terngiang-ngiang di telinga saya dia cakap 'salam mak' sambil mencium tangan," ujarnya sebak.

Dalam pada itu, bapa Norfaizah, Mansor Hamid, 55, pula memberitahu, dia sempat tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa kedua-dua anak dan empat cucunya itu.

Sebaik sahaja sampai, katanya, dia nampak jenazah anak dan cucu-cucunya dikeluarkan seorang demi seorang oleh pasukan penyelamat.

Sumber : Utusan Malaysia

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru