Wednesday 08 Feb 2012
Meluru sambil meraung

9 Jun - PEKAN: “Berapa mak? Hah! Semua?” kata Saudi Sulaiman, 40, penuh kesedihan sejurus dimaklumkan ibu mentuanya isteri bersama semua empat anaknya serta seorang adik iparnya terbunuh dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Situasi menyayat hati itu disaksikan sebaik saja Saudi tiba di Rumah Mayat Hospital Pekan (HP) dan meluru menemui ibu mentuanya, Arfah Sulung, 54.

Isteri Saudi yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu ialah Nor Faizah Mansur, 31, yang juga pengusaha kantin, manakala empat anaknya ialah Nur Sahera Atikah Saudi, 13, Nor Safiana Atikah, 10, Nor Suhaila Asirah, 7, dan Md Sahrul Amir, 3. Adik lelaki Nor Faiza yang terkorban ialah Mohamad Saiful Anwar, 14.

Sebaik saja dimaklumkan mengenai lima kematian itu, Saudi bergegas ke bilik mayat dan mengecam semua jenazah mangsa sebelum meraung sekuat hati memanggil nama isteri dan anak-anaknya yang terbujur kaku.

Terdahulu, Saudi tiba di bilik mayat itu kira-kira jam 3 pagi kerana ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di dalam hutan di Bukit Ibam, Muadzam Shah, sejak seminggu lalu.

Raungan pilu Saudi menyebabkan suasana duka menyelubungi perkarangan bilik mayat berkenaan yang dipenuhi anggota keluarga lain serta kenalan yang menunggu jenazah seawal jam 12 tengah malam.
Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton Iswara dipandu Nor Faizah dari Muadzam Shah menuju Pekan bertembung lori terbabit.

Keadaan semakin pilu apabila Saudi meraung menyebut ‘adik’ iaitu panggilan untuk anak bongsunya kerana jeritan itu lebih panjang dan hiba berikutan kanak-kanak itu paling rapat dan manja dengannya.

Sumber : www.hmetro.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru