Wednesday 08 Feb 2012
ICAM jadikan Pekan hab ilmiah automotif serantau

Sedia kemudahan pengajaran lahirkan modal insan pakar

Pekan 14 Julai - KOLEJ Antarabangsa Automotif (ICAM) DRB-Hicom Bhd yang baru ditubuhkan akan menjadikan Pekan, Pahang, sebagai sebuah hab ilmiah automotif serantau dengan kemudahan pengajaran bagi melahirkan modal insan pakar dalam bidang berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata bagi mencapai matlamat itu, ICAM yang ditubuhkan pada April lalu akan memiliki tenaga pengajar pakar dan berpengalaman dalam industri automotif global yang jelas amat agresif dan berdaya saing tinggi.

"Disebabkan itu, kita tidak boleh bertolak ansur dalam kemahiran dan pengetahuan terutama iklim perniagaan semasa yang sering berubah.

"Kemudahan perkilangan bertaraf dunia perlu dilengkapi tenaga kerja mahir dan berilmu supaya dapat menarik minat pengeluar kereta antarabangsa ke Pekan, yang sudah dikenal pasti sebagai hab Automotif Nasional di bawah Pelan Induk Ekonomi Pantai Timur," katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

ICAM bukan saja menawarkan kursus teknikal dan kejuruteraan automotif, tetapi semua jenis kursus pengurusan dan perniagaan berkaitan bidang berkenaan.

Buat masa ini, kampus sementara ICAM adalah dalam kawasan Kompleks Automotif Bersepadu di Pekan yang menjadi pusat operasi pembuatan dan pemasangan kenderaan DRB-Hicom.
Kampus tetapnya pula bakal di bina di sebelah tapak sama, merangkumi kawasan seluas 14.8 hektar yang dilengkapi kemudahan dan bengkel bagi memenuhi keperluan pelajar.

Ketika ini, ICAM menawarkan tiga program diploma iaitu 'Diploma in Automotive Management Systems (DMS)', 'Diploma in Vehicle Assembly Management (DVA) dan 'Diploma in Vehicle Inspection (DVI)' yang mengambil masa tiga tahun.

Kini, ICAM mempunyai 75 pelajar untuk sesi kemasukan pertama Mac lalu dan bertambah untuk kemasukan keduanya, September ini.

Sumber : www.bharian.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru