|

9 Jun 2010 - DRB-Hicom Berhad melabur RM31 juta dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Kolej Universiti Automotif Antarabangsa (ICAM) di kawasan 96 hektar, di Pekan, Pahang
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Lukman Ibrahim berkata, ICAM dijangka disiapkan pada 2013 dengan menyasarkan hingga 5,000 pelajar dalam satu masa.
“ICAM adalah institusi pendidikan dan latihan tinggi yang ditubuhkan kusus untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang automotif bagi memenuhi keperluan industri automotif negara yang berkembang pesat dan kini menerokai pasaran global.
“Malah, ICAM memberi jaminan graduannya akan ditempatkan dalam program latihan perindustrian serta penempatan pekerjaan dalam bidang berkaitan sekurang-kurangnya setahun dan jika graduan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, mereka akan terus diserap dalam syarikat,” katanya pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan PMR, SPM dan STPM di Glenmarie Golf and Country Club di sini, semalam.
Lukman berkata, untuk peringkat permulaan DRB Hicom menyediakan kampus sementara bertaraf kolej di Pekan bagi menampung 1,300 pelajar hingga tahun 2012 dan hanya terhad kepada pengajian peringkat diploma dalam bidang automotif saja.
“Untuk pengambilan pertama, 75 pelajar daripada kakitangan syarikat di bawah DRB-Hicom berpeluang melanjutkan pelajaran serta ditaja sepenuhnya kumpulan syarikat DRB-Hicom manakala, bagi pengambilan kedua September ini, ia akan dibuka kepada umum,” katanya.
Bagaimanapun katanya, selepas kampus ICAM disiapkan, program akan dikembangkan bermula dari peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap empat dan tahap lima, diploma, ijazah dan ijazah sarjana.
Lukman berkata, ICAM bukan saja dilengkapi teknologi automotif terkini dan canggih, tapi turut menyediakan tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.
“Ia selaras hasrat menjadikan ICAM institusi terunggul dalam menyediakan pendidikan terbaik untuk mereka yang ingin berjaya dalam industri automotif.
“Syarikat juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan tetapi berpotensi untuk berkembang maju. Ia sebahagian tanggungjawab korporat (CR) dan nilainya bergantung kepada peruntukan syarikat,” katanya.
Sumber : www.hmetro.com.my
|