Wednesday 08 Feb 2012
Sebak lihat mayat tersepit

PEKAN: “Keadaan kereta yang terbabit kemalangan itu begitu dahsyat apabila bumbungnya remuk teruk hingga hampir mencecah lantai akibat dihempap kepala lori selepas masing-masing bertembung,” kata Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Rahmat Omar yang mengetuai operasi mengeluarkan enam mayat mangsa kemalangan ngeri di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Segamat, Runchang di sini, kelmarin.

 

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 9 malam sebelum 15 anggota bersama dua jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian.


“Kami memulakan kerja dengan menyelamatkan pemandu lori yang masih hidup tetapi tersepit di tempat duduknya. Pemandu itu merintih kesakitan sambil meminta tolong kerana kakinya tersepit manakala isterinya sudah dikeluarkan dengan bantuan orang awam.


“Selepas itu, kami mula mengeluarkan mayat dalam kereta yang tersepit kerana dihimpit kedua-dua kenderaan itu,” katanya, semalam.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan pemandu treler menunda lori yang menghimpit kereta mangsa bagi meregangkan himpitan untuk mengeluarkan semua mayat mangsa.


“Kami mengeluarkan mayat pemandu kereta itu terlebih dulu sebelum mengeluarkan mayat remaja perempuan di sebelahnya manakala di tempat duduk belakang, kami menemui satu mayat remaja lelaki dan satu mayat kanak-kanak lelaki serta dua mayat kanak-kanak perempuan.


“Semua mereka cedera parah di kepala selain patah tangan dan kaki, malah operasi mengeluarkan mayat juga selesai lewat hingga mengambil masa kira-kira tiga jam kerana keadaan kemalangan yang sukar selain kawasan agak gelap,” katanya.


Rahmat berkata, dia turut sayu melihat keadaan mayat enam sekeluarga itu yang meninggal dunia serentak dalam keadaan begitu ngeri.


“Menambah sebak apabila saya terpaksa menjawab panggilan telefon milik mangsa daripada keluarga dan rakan yang mahu mengetahui keadaan mangsa.


“Namun, saya hanya mampu menjawab mereka kritikal dan dihantar ke Hospital Pekan sedangkan pada hakikatnya mereka sudah meninggal dunia,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Nor Faizah dari arah Muadzam Shah menuju Pekan gagal memasuki lorongnya semula ketika cuba memotong sebuah lori.

Sumber : www.hmetro.com.my

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru