Wednesday 08 Feb 2012
Orang Asli Kampung Jong diminta pindah

PEKAN – Keluhan masyarakat Orang Asli suku Jakun yang juga penduduk kampung Jong yang mendakwa tidak menerima bantuan seperti dilaporkan dalam Sinar Harian semalam mendapat reaksi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Ishak Muhamad.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asli, UMNO Parlimen Pekan berkata, penduduk yang masih tinggal di kawasan tersebut sudah diberi peluang berpindah ke Kampung Api Larat yang terletak berhampiran sejak bertahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini sebahagian besar penduduk di kampung Jong sudah berpindah ke Api Larat namun masih ada sepuluh rumah yang dihuni lebih 100 penduduk enggan berpindah.

“Perpindahan yang disarankan bukan berniat untuk menutup kampung tersebut tetapi memberi kemudahan kepada masyarakat Asli di kawasan yang terpencil dan menggunakan jalan air (sungai) sebagai pengangkutan itu.

“Penggunaan pengangkutan bagi menghantar bantuan ke kawasan kampung tersebut adalah sukar dan penduduk perlu memikirkan kehidupan yang lebih baik kepada mereka dan generasi seterusnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ishak berkata, pelbagai kemudahan disediakan di kampung Api Larat seperti rumah Projek Perumahan Rakyat termiskin (PPRT), bekalan elektrik dan air, tadika serta tanah bagi perusahaan ladang sawit.

“Saya berharap penduduk yang masih tinggal di kampung Jong dapat berpindah ke Api Larat kerana peluang masih dibuka untuk mereka bersama-sama menikmati kemudahan dan pembangunan yang diberikan.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam menyalurkan kemudahan dan bantuan kepada rakyat di negeri ini dan saya berharap agar mereka (penduduk kampung Jong) memberi kerjasama yang baik demi kebaikan mereka sendiri,” katanya.

 Sumber : Gambar & Berita oleh Sinar Harian

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru