Wednesday 08 Feb 2012
Jalur lebar Pekan, Kuantan bakal sehebat Singapura

 

DALAM tempoh sebulan lalu, rakyat Pahang menyaksikan tiga peristiwa penting yang bakal mengubah corak kehidupan mereka. Dua peristiwa penting itu berlaku di Pekan manakala satu lagi di ibu negerinya, Kuantan yang akan menyaksikan penduduk di kedua-dua bandar tersebut melangkah ke alam digital yang lebih moden.

Peristiwa pertama berlaku pada 30 Januari lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Digital Pekan 1Malaysia yang tujuannya meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di daerah itu.

Dalam tempoh 27 hari selepas itu, Najib sekali lagi turun padang ke kawasan Parlimennya untuk melancarkan satu lagi projek Tanjung Agas Real-Time Broadband (TARB) yang matlamatnya sama seperti Digital Pekan 1Malaysia.

Cuma projek itu lebih ditumpukan kepada capaian jalur lebar di Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjong Agas, Pekan.

Dan, pada 2 Mac lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob melancarkan pula perkhidmatan jalur lebar menerusi gentian optik di MSC Malaysia Pahang di Kuantan.

Jelas, projek peningkatan perkhidmatan jalur lebar bukan lagi retorik politik kosong yang selama ini dicanangkan oleh kerajaan.

Ketiga-tiga projek yang dilancarkan oleh pemimpin negara dan negeri itu bukan sekadar mahu memperluaskan kemudahan ICT sebaliknya bertujuan mempertingkat dan mempercepatkan lagi akses maklumat menerusi capai jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

Bercakap mengenai ICT tanpa menyentuh bab HSBB dianggap telah ketinggalan zaman. Masyarakat antarabangsa kini memperkatakan mengenai HSBB dan tanpanya, kehidupan mereka bagaikan tidak sempurna.

Begitulah cara hidup yang kini diamalkan masyarakat digital di Hong Kong, Guro di Korea Selatan, Chennai di India dan Birmingham di United Kingdom malah di negara jiran kita, Singapura.

Berdasarkan usaha yang dijalankan itu, tidak mustahil dalam tempoh setahun dua lagi, Kuantan dan Pekan tidak jauh bezanya dengan keempat-empat bandar raya itu dalam aspek capaian HSBB walaupun masih belum mampu menandinginya dari segi fizikal bangunan pencakar langitnya.

Apa pun sebagai langkah awal, pelancaran ketiga-tiga projek HSBB itu dapat merangsangkan lagi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) kerana pelabur kini sangat mengambil berat mengenai capaian jalur lebar yang pantas kerana bagi mereka, 'masa itu emas' atau 'masa itu duit.'

Ia bukan hanya kerana prospek yang cerah di taman perindustrian itu tetapi disebabkan capaian HSBB yang mengagumkan yang mampu mempercepatkan segala bentuk urusniaga di peringkat global.

Jadi tidak keterlaluan jika dikatakan projek Digital Pekan 1Malaysia bakal menjadi titik tolak kepada penentu kepesatan pembangunan HSBB di setiap daerah di negara ini.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kadar penembusan jalur lebar di Pahang pada masa ini ialah sekitar 17.3 peratus dan menjelang akhir tahun ini, kadar itu dijangka meningkat kepada 33 peratus sejajar dengan PJLN.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dalam inistif merapatkan jurang digital, sebanyak 23 pusat jalur lebar komuniti (PJK) dan perpustakaan jalur lebar (PJL) ditubuhkan di seluruh negeri.

Sebagai sebuah negeri yang termasuk dalam koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pahang amat memerlukan satu tonik yang ampuh iaitu HSBB bagi menarik pelabur untuk memacu ekonomi negeri itu.

Bagi rakyat Pahang pula, mereka akan berhenti mengeluh atau merungut di depan komputer atau 'laptop' mereka sebaik sahaja projek peningkatan infrastruktur HSBB yang sedang rancak dilaksanakan pada masa ini siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuantan.

Oleh YUSRI SAHAT
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Sumber : Akhbar Utusan Malaysia

 
     
   
     
   
     
   

Gambar Terbaru